KOTA BHARU, 9 JUN : Seorang pegawai polis ditahan reman hari ini, selepas disyaki melakukan seks oral sebelum merogol seorang ibu tunggal di biliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 3 petang, mangsa berumur 27 tahun pada mulanya ditahan berhubung kes dadah bersama bekas suaminya Jumaat lalu.

Menurut sumber, mangsa kemudian dibawa dari lokap Balai Polis Pengkalan Chepa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD berkenaan. 

Katanya, apabila tiba di bilik tersebut, mangsa diarahkan membuka pakaian dan melakukan seks oral sebelum dirogol suspek.

“Wanita itu mempunyai dua anak, ditangkap bersama bekas suaminya setelah serbuan dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Bharu.

“Kes itu berkait dengan rampasan dadah jenis syabu dan pil kuda pada Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairudin Wan Idris ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut.

Katanya, suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C kanun sama. – UTUSAN