IPOH, 22 Jun – Seorang pekerja kedai tayar maut selepas terkena besi bin (rasuk) tayar meletup di pusat servis tayar di Menglembu, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, K. Kumaresa, 60, yang cedera parah maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menukar tayar kren.

Menurutnya, ketika dalam proses terakhir, kedengaran bunyi letupan menyebabkan besi bin tayar terpelanting terkena mukanya.

Katanya, kejadian disaksikan oleh seorang pelanggan yang merupakan pemandu kren berkenaan.

“Saksi yang turut mengalami sakit pendengaran akibat kejadian itu segera memanggil majikan mangsa untuk memaklumkan hal tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat.

Menurut Yahaya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan tikaman, luka, lebam dan calar pada badan lelaki itu.

Di samping itu, katanya, pemeriksaan di sekeliling lokasi juga mendapati tiada sebarang senjata yang berbahaya yang boleh menyebabkan kematian secara jenayah.

Kes diklasifikan sebagai kematian mengejut.