IPOH, 14 Sept – Beberapa pekerja sebuah syarikat konsesi pembersihan serta Bahagian Perkhidmatan Bandar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) disahkan positif COVID-19 dan sedang menjalani proses kuarantin.

Justeru MBI dalam satu kenyataan memohon maaf atas gangguan terhadap perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam di sekitar bandar raya.

“Beberapa pekerja syarikat konsesi LTC Alam Bersih Sdn Bhd telah disahkan positif Covid-19 sejak hujung minggu lalu sehingga sekarang.

“Sebahagian lagi pekerja syarikat yang tinggal di asrama pekerja juga adalah kontak rapat kepada kes ini dan telah pun diarah menjalani proses kuarantin.

“Sehubungan itu, jadual perkhidmatan kutipan sampah yang diuruskan oleh pihak syarikat konsesi LTC Alam Bersih Sdn Bhd di kawasan Bandaraya Ipoh telah terganggu,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Walau bagaimanapun MBI memberi jaminan bahawa perkara berkenaan tidak menimbulkan banyak masalah selain sedaya upaya untuk mengatasinya.

Dalam pada itu MBI meminta agar orang ramai di Ipoh dapat meletakkan sampah domestik di dalam tong sampah masing-masing bagi memudahkan proses kutipan sampah oleh pihak MBI selanjutnya.

“Wargakota Ipoh boleh menghubungi talian hotline MBI 05-2551515 atau whatsapp 019-5503083 jika menghadapi sebarang masalah kutipan sampah dan pembersihan,” kata kenyataan itu lagi.