IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab terhadap kes seorang pekerja putus tangan kanan di sebuah kilang sarung tangan getah di sini pada 29 Oktober lalu.

Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.30 pagi di kilang berkenaan melibatkan warganegara Bangladesh berusia 26 tahun.

Menurutnya, susulan daripada itu, sepasukan pegawai penyiasat telah dihantar bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap kes kemalangan tersebut pada keesokan harinya.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa merupakan seorang pekerja am di bahagian pengeluaran. Semasa kejadian mangsa sedang mengeluarkan sisa-sisa sarung tangan yang terdapat di dalam ‘washing brush tank’.

“Hujung sarung tangan getah pada bahagian lengan yang dipakai mangsa telah tersangkut pada shaft di washing brush tank sehingga mengakibatkan bahagian pertengahan tangan kanan mangsa terputus kerana terbelit pada shaft yang berputar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Zamzurin berkata, susulan siasatan awal yang dijalankan, pihaknya mengeluarkan arahan henti kerja bagi aktiviti di bahagian jalur pengeluaran berkenaan sehingga tindakan penambahbaikan dibuat oleh majikan.

Beliau berkata, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan. Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.

Dalam kejadian pada 29 Oktober itu, seorang pekerja pengeluaran sebuah kilang di sini hilang pergelangan tangan selepas terperangkap dalam sebuah mesin pada kejadian di kilang Top Glove di Kawasan Perindustrian Tasek di sini.

Perkara itu didedahkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang yang memaklumkan kejadian itu berlaku membabitkan pekerja warga asing.

Top Glove Corporation Bhd dalam hantaran di Facebook rasminya kemudian mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa pekerja terbabit telah dikejarkan ke hospital dan kini berada dalam keadaan stabil.