KUALA LUMPUR, 14 OKT : Pengamal media, penulis blog dan pengguna media sosial diminta tidak menggunakan gambar seorang pelakon lelaki yang ditangkap atas kesalahan penyalahgunaan dadah dengan gambar berpakaian sebagai juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TUDM dalam satu kenyataan, hari ini menjelaskan, perkara itu menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan mencalarkan imej pasukan kerana pelakon itu tidak pernah berkhidmat dengan TUDM.

Menurut kenyataan itu, TUDM terkesan berikutan beberapa artikel yang diterbitkan beberapa pengamal media, penulis blog dan pengguna media sosial berkaitan penahanan pelakon disensasikan menggunakan gambarnya berpakaian juruterbang TUDM.

“Pelakon berkenaan tidak pernah berkhidmat dengan TUDM atau Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

“Gambar berpakaian juruterbang ini diambil ketika membintangi drama Gempur Wira yang disiarkan dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2018,” katanya kenyataan itu.

Justeru, pihaknya amat kesal dengan tindakan penggunaan gambar pelakon berkenaan berpakaian juruterbang TUDM kerana memberikan kesan imej yang negatif.

“Pengamal media, penulis blog dan pengguna media sosial diminta lebih peka dan berhati-hati dalam penggunaan gambar untuk sebarang artikel yang dikeluarkan agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Perkara ini boleh mencalarkan imej TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keseluruhannya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TUDM meminta pengamal media, penulis blog dan pengguna media sosial supaya tidak mengaitkan pelakon itu dengan TUDM dan mohon membuat pembetulan artikel yang dimuat naik.

Semalam, pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 28, bersama pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49; dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46; mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar, jam 7.15 pagi 10 Oktober lalu.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine pada waktu, tarikh dan di lokasi sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 ke atas Muhamad Niezam, Mohd Latiff (RM2,600) dan Saiful Zaidrin (RM3,200) masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia. – BERITA HARIAN