PELAKON drama Noryati Taib, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Makcik Petir’, meninggal dunia pada jam 1.45 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Faizul Hafiz Hashim di akaun sosial Facebooknya.

“Dukacita dimaklumkan Mama saya telah meninggal dunia pada 1.45 pagi sebentar tadi.

“Saya minta jasa baik anda semua mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” kata Faizul Hafiz.

Allahyarham berusia 63 tahun.

Pada tahun 2017, Noryati pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru.

Noryati juga diuji apabila sebelah kakinya terpaksa dipotong kerana menghidap penyakit kencing manis.

Pada awal Februari lepas, media melaporkan, Noryati disahkan positif COVID-19 dan kemudian sembuh selepas dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru.

Allahyarham terkenal dengan gelaran Makcik Petir, Makcik Isabella dan Makcik Mary dalam drama lakonannya seperti Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty dan Tari Tirana.

Menurut adik arwah, Effie Ghazi, yang juga jurukamera Astro Awani, jenazah kakaknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di Johor Bahru, pada 10 pagi ini. – AWANI