IPOH, 29 Mac- Kerajaan Perak melancarkan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang menggariskan lima teras strategik dalam menentukan pembangunan dan hala tuju pentadbiran yang lebih mampan.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad lima teras itu meliputi keseimbangan pembangunan fizikal dan sosioekonomi, kerjasama pintar, kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi, sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan ambil peduli serta kepakaran berkualiti dan bernilai tinggi.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena melancarkan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030, di sini pada Isnin.

“Teras pertama adalah komitmen kerajaan negeri untuk melengkap serta menambahbaik kemudahan prasarana di kawasan bandar dan luar bandar.

“Contohnya pembangunan Lebuhraya Pesisir Pantai Barat ataupun West Coast Expressway (WCE) sepanjang 139.2 KM yang memberi limpahan manfaat kepada lima daerah iaitu Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung serta Larut, Matang dan Selama,” katanya.

Selain itu katanya, untuk teras kedua, kerajaan negeri akan menjadikan kerjasama pintar sebagai salah satu pendekatan untuk memacu pembangunan negeri.

“Ia adalah kaedah yang membabitkan kerjasama sektor kerajaan dan swasta merangkumi aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, perumahan, pelancongan dan banyak lagi.

Dalam konteks kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi, kerajaan negeri memandang berat isu keseimbangan antara penerokaan dan penggunaan sumber bumi secara lestari.

“Kekayaan negara, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar adalah tiga komponen utama yang perlu diambil kira oleh Kerajaan dalam setiap projek pembangunan.

“Kekurangan teknologi dan kepakaran dalam industri mineral menyebabkan Malaysia hanya memfokuskan aktiviti pengekstrakan sumber bumi dan pengeksportan dalam bentuk bahan mentah sahaja.

“Sebenarnya kerajaan negeri boleh mengoptimum lagi pulangan hasil daripada industri ini dengan mewujudkan ekosistem industri hiliran,”katanya.

Katanya bagi teras keempat ialah masalah birokrasi yang sentiasa membayangi sistem penyampaian kerajaan.

“Kekurangan infrastruktur digital, budaya kerja tertutup, jumud, berasaskan agensi (silo mentality) dan kekurangan penyelarasan maklumat atau data di kalangan agensi adalah antara isu yang sering dibangkitkan oleh rakyat.

“Contohnya, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada inisiatif meluaskan perkhidmatan dalam talian dan perkhidmatan digital yang efektif kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, bagi teras kelima beliau berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan insentif tertentu yang mampu menarik golongan tenaga pakar pulang ke negeri.

“Perak telah melahirkan tenaga pakar terlatih dalam kalangan rakyat negeri ini dalam pelbagai bidang pekerjaan.

“Namun malangnya, ramai di antara mereka memilih berkhidmat di luar negeri Perak. Perkara ini berlaku berikutan kekurangan prospek kerjaya yang bertepatan dengan minat, kepakaran dan ekspektasi pendapatan mereka,” katanya.