PUTRAJAYA, 14 OKT – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi berkuat kuasa hari ini, selepas mengambil kira peratus yang dikesan positif semasa saringan sangat rendah.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagaimanapun sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri, pelancong digalakkan untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.

Menurutnya, justeru, syarat wajib vaksinasi Covid-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan mesti dipatuhi.

“Bagi individu disahkan positif dan sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan atau individu dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani perintah kuarantin dan pengawasan, mereka tidak dibenarkan melancong.

“Untuk mereka yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema, dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, sehingga 10 Oktober lalu, seramai 54,341 pelancong telah menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan hanya 216 atau 0.4 peratus pelancong dikesan positif. – K! ONLINE