KUALA LUMPUR, 15 SEPT : Semua pelancong yang berhasrat bercuti di pulau peranginan Langkawi bermula esok (16 September) diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.

Khairy memaklumkan, terdapat tiga cara boleh digunakan pelancong sebelum memasuki pulau tersebut:

1. Menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas. Keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk (lapangan terbang atau terminal feri) sebelum berlepas; atau

2. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID19 di tempat saringan yang disediakan; atau

3. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

“Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Bagi mereka yang didapati negatif COVID-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif COVID-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat yang sedia ada,” katanya.

Beliau dalam masa sama menegaskan, pelaksanaan gelembung pelancongan itu tidak bermakna kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

Langkawi dipilih sebagai projek rintis oleh kerajaan untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan bermula 16 September.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun pembukaan sektor itu berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan. – AWANI