LANGKAWI, 18 SEPT : Pengunjung yang didapati positif selepas melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum memasuki pulau peranginan ini boleh meminta untuk menunda tarikh penginapan atau memohon bayaran balik daripada hotel yang ditempah.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat berkata, pihaknya telah menasihatkan ahli-ahlinya untuk berbuat demikian.

“Disebabkan ahli kita semuanya mengendalikan perniagaan, jadi kita tidak boleh memberi arahan untuk mewajibkan semua ahli memberi bayaran balik kepada pelancong.

“Tetapi kebiasaannya hotel membenarkan pelancong untuk menukar tarikh penginapan kepada tarikh lain,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan, semua pelancong yang ingin ke Langkawi untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas ke sini pada Rabu, sehari sebelum gelembung pelancongan itu bermula.

Semalam, sebanyak empat kes positif dikesan daripada 3,454 pelancong yang disaring di empat pintu masuk udara dan laut ke sini.

Satu kes masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Subang, dan dua kes dikesan di Terminal Feri Kuala Perlis.

Pada hari pertama gelembung pelancongan pula, sebanyak lima kes positif dikesan dari 2,528 pelancong yang disaring di pintu masuk ke Langkawi. –  UTUSAN ONLINE