LUMUT: Persatuan Hotel dan Resort Pulau Pangkor merayu kerajaan melakukan sesuatu termasuk pemberian subsidi terhadap sektor pelancongan khususnya di Pulau Pangkor yang kini lumpuh kerana ketiadaan pelancong berikutan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Mohd. Zamzuri Suid, berkata kerajaan patut sensitif dan melakukan perancangan strategik serta kaedah membantu industri pelancongan sebelum mereka terpaksa gulung tikar sepenuhnya.

Menurutnya, jika tiada pelancong bermakna penggiat industri pelancongan khusus­nya pengusaha hotel dan resort di pulau tersebut tiada pendapatan, jadi sukar bagi mereka untuk kekal dalam perniagaan itu.

“Pelancongan Pulau Pangkor lumpuh akibat PKP, justeru diharap kerajaan dapat membantu terutama dalam pembayaran gaji staff, jika tidak, staf tiada pendapatan.

“Kebanyakan syarikat di Pulau Pangkor telah gulung tikar dan yang sedia ada hanya menunggu masa, seperti air sudah berada di paras hidung.

“Oleh itu, kami merayu kerajaan dapat memberi bantuan subsidi terutama daripada segi kos operasi yang nazak serta gaji pekerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Zamzuri, buat masa ini pihaknya hanya meminta sedikit bantuan daripada kerajaan agar mereka boleh terus bersabar dan meringankan bebanan yang ditanggung sejak Covid -19 meletus.

“Besar harapan kami apa juga jenis bantuan pihak kerajaan boleh disalurkan kepada penggiat pelancong di Pulau Pangkor kerana dalam keadaan sekarang, bantuan tersebut sangat dihargai.

“Sektor pelancongan juga salah satu penyumbang terbesar untuk ekonomi negara,” jelasnya.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP secara tiba-tiba juga menyebabkan mereka terpaksa memulangkan semula wang tempahan atau menunda tempahan kepada tarikh lain dalam tempoh yang ditentukan oleh pihak syarikat, terhadap tempahan awal orang ramai yang sebelum ini merancang bercuti di pulau itu ketika cuti Aidilfitri minggu lalu dan persekolahan minggu depan.

Mohd. Zamzuri bagaimanapun menjelaskan, pihaknya menyokong usaha kerajaan untuk membedung gejala Covid-19 itu yang semua orang tidak pasti bila ia akan berakhir.

Menurutnya, dengan menguatkuasakan PKP secara menyeluruh, pihaknya pasti ia boleh memutuskan rantaian jangkitan dan seterusnya orang ramai boleh kembali menjalani kehidupan nornal.

Malah, Mohd. Zamzuri mengesyorkan agar PKP sepenuhnya seperti PKP 1.0 dilaksanakan jika jangkitan semakin merebak dan teruk.

Beliau meminta pelancong lebih mengutamakan SOP dan tidak perlu melakukan aktviti percutian ketika PKP kerana menyebabkan rantaian virus itu tidak dapat diputuskan 100 peratus.

Tegasnya, semua orang perlu patuh kepada SOP dan sentiasa mengamalkan norma dan etika baharu yang disarankan kerajaan dan jangan keluar rumah atau pergi bercuti jika mempunyai simptom penyakit tersebut.

Pada masa sama, katanya, penggiat industeri pelancongan terutama perhotelan dan resort diberikan perhatian yang lebih bagi membantu daripada segi kewangan.- UTUSAN ONLINE