IPOH, 1 FEB : Jumlah kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke Perak menjunam berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu bagi mengekang pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, berdasarkan kajian Tourism Malaysia di tiga lokaliti iaitu Ipoh, Taiping dan Pangkor, jumlah penginap domestik bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berkurangan 62.8 peratus kepada hanya 488,000 orang berbanding 1.3 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. 

“Bagi tempoh yang sama juga, penginap antarabangsa berkurangan sebanyak 64.3 peratus iaitu 52,000 orang pada tahun 2020 berbanding 147,000 orang pada 2019. 

“Ini menjadikan jumlah penginap hotel di Perak jatuh mendadak sebanyak 62.9 peratus iaitu berkurangan daripada 1.4 juta orang pada 2019 kepada hanya 540,000 orang pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Tahun Baharu dan Executive Talk bersama penjawat awam negeri yang diadakan secara atas  talian melalui Facebook beliau hari ini.

Perak sebelum ini menjadi antara negeri yang menerima jumlah pelancong domestik tertinggi dalam negara selain Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Saarani berkata, jumlah penerimaan hasil negeri juga mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus iaitu sebanyak RM111.4  juta berbanding 2019.

Katanya, kerajaan negeri telah menutup akaun bagi tahun berakhir 31 Disember lalu dengan defisit RM77.4 juta, iaitu defisit yang pertama dalam tempoh 12 tahun. 

“Pada masa sama, kesuraman ekonomi akibat daripada pandemik ini menuntut kerajaan berbelanja lebih daripada kebiasaan sekaligus menjejaskan keadaan fiskal kerajaan,” katanya.

Katanya, antara langkah proaktif dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini dalam menangani ketidaktentuan adalah dengan  meneroka hasil-hasil baharu dengan memanfaatkan potensi Perak yang berada dalam kedudukan yang strategik di samping adanya sumber dan aset seperti mineral, sumber asli, pelabuhan serta kekayaan flora dan fauna. 

Beliau berkata, dengan capaian internet isi rumah yang melebihi 80 peratus, ekonomi digital merupakan hasil baru yang mampu menyumbang kepada ekonomi negeri, selain melonjakkan produktiviti, ia juga mengurangkan kos perniagaan sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dalam pada itu, Saarani turut menggalakkan penjawat awam negeri menerapkan tiga pendekatan yang boleh dilaksanakan iaitu padang telinga, buka mata; turun padang, atur jalan penyelesaian dan bersama berganding bahu.

Katanya, pendekatan pasang telinga, buka mata penting bagi memastikan penjawat awam peka dengan masalah yang berlaku di sekeliling dan mengambil tindakan awal untuk menanganinya. 

“Sebagai contoh, isu kerja-kerja pencerobohan hutan Bukit Kledang berskala besar yang berlaku jelas di tengah-tengah bandar raya Ipoh sebelum ini, pencerobohan itu menjadi tontonan umum tetapi kerana kealpaan dan kelalaian kita, maka kemusnahan besar berlaku di hadapan mata. 

“Ini mengundang pandangan serong rakyat terhadap imej kerajaan. Perkara ini pasti boleh dielakkan jika kita sentiasa peka dengan sekeliling dan sensitif dengan rungutan dan aduan orang ramai dalam satu-satu isu,” katanya. – UTUSAN ONLINE