LUMUT, 8 FEB – Pengusaha pelancongan di Pulau Pangkor khususnya hotel dan resort kini umpama ‘hidup segan mati tak mahu’ berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Pengerusi Persatuan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Munir Shaari, berkata ada antara pengusaha yang terpaksa meminta pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji kerana kebanyakan hotel dan resort di pulau itu tidak menerima kunjungan pelancong buat masa ini.

“Situasi di Pangkor sangat teruk. Bukan sahaja kami tetapi hampir semua sektor pelancongan terjejas teruk. Dari pemandu teksi, rekreasi air, kedai cenderahati dan kedai bebas cukai.

“Kira-kira 40 pengusaha hotel dan resort di sini tidak pasti sampai bila boleh bertahan dengan keadaan sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak pasti jika ada mana-mana sektor pelancongan terutama hotel dan resort di pulau tersebut yang sudah gulung tikar kerana kebanyakan resort di Pulau Pangkor dijalankan secara kecil-kecilan.

Munir berkata, jika kerajaan benar-benar mahu kes Covid-19 menurun, sepatutnya perlu membuat PKP seperti yang pertama kali dilakukan pada Mac tahun lalu.

“Barulah berkesan. Jika tidak kes akan berlarutan sampai bila-bila.

“Salah satu kesilapan besar yang terjadi pada tempoh hari adalah apabila Kerajaan membuka sempadan negeri walaupun ada negeri yang masih mencatatkan kes yang tinggi,” katanya.

Menurut Munir, pihak berkuasa perlu lebih proaktif dalam menangani wabak Covid-19 seperti dilakukan ketika PKP tahun lalu.

“Jika berjaya menurun angka dan orang ramai boleh bercuti kembali, pelancong sendiri keluar berjalan seperti mana kita lihat pada bulan Disember tahun lalu.

“Kami faham kekangan kerajaan dari segi kewangan maka cara yang terbaik adalah dengan menyelesaikan penularan Covid-19 dengan lebih baik berbanding sekarang. Kita pernah berjaya melakukannya kenapa tidak sekali lagi?,” soalnya. – KOSMO