IPOH, 28 DIS : Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim sebagai Penasihat Khas Menteri Besar Perak bertaraf Exco bukanlah sebagai imbuhan kerana membawa usul percaya yang menyebabkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang jawatan Menteri Besar.

Sebaliknya, pelantikan itu kerana berlaku kekosongan dan kelayakan yang ada pada Abdul Manaf yang telah menjadi ADUN Pengkalan Baharu sejak 2013.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, selain sebagai salah seorang wakil rakyat yang senior, Abdul Manaf juga mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor korporat.

“Jadi kita memilih dia sebagai dia di antara ADUN yang senior. Kita yakin kepada kebolehan dia, tidak ada imbuhan, tak ada janji apa.

“Tempat itu telah dikosongkan oleh Datuk Zainol (Datuk Zainol Fadzi Paharudin), maka saya perlu isi, jadi apabila nak isi, kita pilih orang pada pendapat kita layak.

“Antara kriteria dia, pertama senior ADUN, pengalaman korporat, dia dulu adalah Lembaga Pengarah TNB (Tenaga Nasional Berhad), jadi berasaskan kepada pengalaman itu kita lantik dia,” katanya.

Beliau ditemui selepas rakaman program penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu, Saarani mengumumkan pelantikan Abdul Manaf sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Besar yang bertaraf Exco di samping ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat sebagai Setiausaha Politik yang baharu.

Selain ADUN Pengkalan Baharu, Abdul Manaf juga adalah Pengarah Bebas Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak Februari 2010 hingga Mei 2018.

Pada 4 Disember lalu, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti terhadap usul undi percaya terhadapnya yang dibawa Abdul Manaf ketika persidangan Dewan Negeri Perak.

Sumber Gambar – Komunikasi Strategik Perak – Official