IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak berharap agar kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan terus stabil bagi memastikan keharmonian politik dan kelangsungan kehidupan rakyat.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, BN Perak menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.

Menurutnya, proses pelantikan itu yang dijalankan secara tertib dengan mengambil kira pandangan Raja-Raja Melayu serta suara Ahli-Ahli Parlimen mencerminkan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam menangani krisis politik supaya tidak terus berlarutan.

Sambil merakamkan tahniah di atas pelantikan itu, beliau yakin dengan ketokohan dan pengalaman Ismail Sabri untuk mengembalikan kestabilan politik, sekaligus membawa tumpuan semua pihak dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat.

“Kami menyeru semua pihak untuk bermuhasabah dan mengambil teladan daripada penzahiran harapan Seri Paduka Baginda supaya semua pihak menghentikan polemik politik serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kemashalatan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Saarani berkata, penghargaan juga harus diberikan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlapang dada untuk bersetuju menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri yang dinamakan oleh BN.