IPOH, 19: Pelantikan dua wakil belia sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) disifatkan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan muda, ujar Khairul Shahril Mohamed.

Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa, Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri turut merakamkan jutaan terima kasih kepada MAIPk di atas peluang tersebut.

“Merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas perkenan melantik dua wakil belia sebagai ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Ia satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada peranan dan penglibatan golongan muda dalam membangunkan ummah di negeri Perak.

“Mewakili Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia kerajaan negeri serta seluruh warga belia, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah dan Ezatul Farita Rohawi atas pelantikan ini,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut berharap pelantikan ini memberi peremajaan dan dinamisme baru dalam program-program yang dianjurkan.

Selain mendekatkan golongan muda dan institusi agama, serta memberi inspirasi kepada golongan belia untuk terlibat aktif dalam memberi sumbangan untuk bersama-sama membangunkan rakyat di negeri ini.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan melantik Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah dan Ezatul Farita Rohawi sebagai anggota MAIPk yang baharu.

Mereka dilantik dalam Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Wan Mohammad Afiq dilahirkan pada 15 Ogos 1998, berkelulusan Diploma Teknologi Maklumat dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Dia merupakan pelajar tahun akhir pangajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) di USAS.

Selain itu, dia merupakan Naib Presiden (Remaja) Gerakan Belia 4B Malaysia dan Ahli Parlimen Belia Malaysia peringkat Kebangsaan dan negeri.

Ezatul Farita pula dilahirkan pada 5 April 1988 di Kampung Sungai Sumun, Bagan Datuk.

Berkelulusan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Makanan (Minor Kualiti dan Keselamatan Makanan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Kini berkhidmat sebagai Eksekutif Jaminan Kualiti di sebuah syarikat multinasional di Hutan Melintang.

Dia turut menyandang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi GPMS Kebangsaan, Naib Pengerusi Wanita GPMS Negeri Perak dan juga Yang Dipertua GPMS Cawangan Bagan Datuk.