IPOH, 31 Jan: Golongan ibu tunggal di sini berpeluang meningkatkan taraf hidup melalui kursus kemahiran mengurut yang bakal dianjurkan oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia Perak (KWIMP).

Pengerusinya, Noriah Yusof berkata, kursus kemahiran itu khusus untuk kaum wanita yang mahu mencari jalan menjana pendapatan.

Katanya, kursus urutan tersebut akan diadakan pada setiap bulan dan penyertaan dibuka kepada semua wanita di negeri Perak.

“Kursus ini akan dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan kotak makanan di Pusat Rawatan Kecantikan Noury di sini, hari ini.

Program amal itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Usahawan Urutan Tradisional Melayu Wanita Kinta Perak (PUUTMEWKIP) dan MyFundAction.

Seramai 20 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan ibu tunggal menerima bantuan makanan asas seperti gula, tepung dan beras.

Menurut Noriah, bantuan pada hari ini diberikan secara pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, KWIMP mengalu-alukan kesudian semua pihak memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk barangan keperluan mahupun kewangan.

Sumbangan boleh diberi melalui akaun Bank Islam 08013010095178 atas nama Persatuan Usahawan Urutan Tradisional Melayu Wanita Kinta Perak (PUUTMEWKIP).

Mereka yang berminat untuk memberi sumbangan juga boleh menghubungi nombor telefon 01111465925 (Noriah) untuk sebarang pertanyaan.