MANJUNG, 24 Ogos: Pemandu kereta Proton Preve yang terlibat dalam kemalangan dengan enam buah motosikal sehingga mengorbankan tiga individu di Kilometer 4, Jalan Kampung Acheh – Sitiawan, dekat sini, pada Sabtu, ditahan reman seminggu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, perintah reman itu yang bermula hari ini hingga 30 Ogos depan, dikeluarkan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Suspek yang diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Majistret Sri Manjung di sini kira-kira jam 9 pagi ini.

Semalam, lelaki berusia 38 tahun itu menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, kira-kira jam 2.50 petang, selepas melarikan diri sejurus berlaku kemalangan.

Ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 petang Sabtu, dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng, masing-masing berumur antara 22 hingga 29 tahun, meninggal dunia.

Kemalangan turut menyebabkan enam lagi, termasuk seorang penumpang Proton Preve, yang berumur antara 24 hingga 48 tahun, cedera parah.

Siasatan awal polis mendapati pemandu kereta Proton Preve dan dua orang penumpang dari Lekir menghala ke Kampung Acheh, manakala enam buah motorsikal termasuk sebuah yang membawa pembonceng, dari arah Kampung Acheh ke Sitiawan.

Apabila sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan telah melanggar keenam-enam motosikal yang berada di laluan sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.