SITIAWAN, 14 Jan – Seorang pemandu maut apabila kenderaan pacuan empat roda (4X4) merempuh belakang sebuah treler hadapan sebuah bank di Pantai Remis, dekat sini, awal pagi ini.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an disahkan maut di tempat kejadian.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.51 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux telah melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berada di parkir tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Amir Hamid tamat jam 2.25 pagi.