SEJAK Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri kesembilan pada Jumaat lalu, isu pembentukan kabinet mula menjadi perhatian bukan sahaja dalam ahli politik malah juga rakyat Malaysia.

Ekoran daripada itu, mula tular di sosial media beberapa senarai kabinet yang didakwa bakal menganggotai kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri kesembilan itu.

Menjawab mengenai spekulasi tersebut, Ismail Sabri pada Isnin menafikan kesemua senarai yang tular itu dan memaklumkan beliau akan mengumumkan barisan kabinet kerajaannya dalam minggu ini.

Menurutnya, pengumuman barisan kabinet itu hanya akan dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Ismail Sabri Yaakob turut berkata, beliau tidak bercadang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan melibatkan parti pembangkang.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO itu berkata, wakil pembangkang akan diberikan peranan dalam jawatankuasa Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Kenyataan itu dilihat selari dengan apa yang disampaikan oleh Ismail Sabri dalam ucapan pertamanya selaku Perdana Menteri kesembilan pada Ahad.

Reaksi daripada pimpinan parti daripada blok pembangkang walaupun rata-ratanya adalah positif terhadap tawaran tersebut, namun mereka dilihat masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap rangka sebenar kerjasama yang dicadangkan itu.

Namun begitu, dalam isu pembentukan kabinet baharu, Ismail Sabri dilihat menghadapi cabaran yang lebih getir untuk memuaskan hati semua parti gabungan yang menyokong pencalonannya sebagai Perdana Menteri.

Meskipun kuasa untuk membentuk kabinet terletak sepenuhnya di tangan beliau, namun permintaan dan desakan daripada pimpinan parti gabungan misalnya dalam isu pemilihan Timbalan Perdana Menteri dan pemilihan nama kerajaan tentunya tidak boleh dipandang ringan.

Tekanan itu diperhebatkan lagi dengan beliau dijangka perlu berdepan dengan pelaksanaan undi percaya di Dewan Rakyat sesuai dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu.

Pada masa sama, rakyat pula pastinya mengharapkan sebuah kabinet yang lebih baik daripada sebelumnya dengan barisan pemimpin berkaliber dan cekap serta mempunyai visi dan dasar yang jelas bagi memandu negara keluar daripada pandemik Covid-19

Kegagalan Ismail Sabri untuk membentuk barisan kabinet dengan ciri tersebut tentunya akan memberikan imej buruk bukan sahaja kepada beliau malah juga kepada UMNO yang merupakan penggerak utama kepada pertukaran kerajaan baharu.

Penting juga diingatkan bahawa dengan mengambil pengajaran daripada kerajaan sebelum ini, saiz kabinet yang besar ternyata tidak mampu menjamin keberkesanan pentadbiran negara menangani Covid-19 apatah lagi untuk memastikan kestabilan politik.

Justeru, mungkin ini merupakan cabaran pertama yang akan menguji daya kepimpinan Ismail Sabri sebagai pemimpin nombor satu negara. -Sinar harian