PUTRAJAYA, 7 APRIL – Tindakan seorang pemuda yang memasuki ruang majlis akad nikah di Ibu Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur dengan berkaki ayam dan bersendirian pagi tadi menimbulkan pelbagai persoalan.

Lebih mengejutkan, lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu dilihat terus duduk di pelamin sebelum mengalunkan zikir istighfar dan mengaji dengan nada suara yang kuat.

Tindakan berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan kakitangan Jawi di tingkat 3, Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga itu sebelum mereka bertindak mendekati dan menenangkan lelaki berkenaan.

Difahamkan, lelaki berkenaan mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta.

Gambar lelaki berkenaan yang sedang ditenangkan dua pegawai keselamatan Jawi turut dikongsi menerusi laman Facebook jabatan itu hari ini.

Sementara itu, seorang kakitangan Jawi yang dihubungi Kosmo! berkata, dia antara orang terawal yang mendekati lelaki berkenaan.

Katanya, selepas didekati, lelaki itu sedang duduk di atas kerusi yang dikhaskan untuk bakal pengantin lelaki bagi upacara akad nikah sambil mengalunkan zikir istighfar.

“Saya ada bertanya nama dan tujuan dia datang ke sini namun, dia hanya mengangguk dan tidak menjawab sebaliknya terus berzikir.

“Saya kemudian membacakan ayat penenang dan minta lelaki itu mengambil wuduk sebelum memberikan dia segelas air,” katanya.

Katanya, menerusi perbualan singkat dengan lelaki itu seperti seolah-olah dia baharu putus cinta.

Jelasnya lagi, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum lelaki itu dibawa keluar oleh dua anggota polis sejam kemudian bagi tindakan selanjutnya. -K! ONLINE