LUMUT, 1 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lumut menyokong penuh saranan parti agar seluruh pemimpin dan jentera parti turun ke kawasan masing-masing bagi menyelami denyut nadi serta kesusahan rakyat susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh .

Ketuanya, Mohd Rafiq Mohd berkata dalam mendepani kehidupan era pandemik ini ia amat memberi kesan kepada rakyat.

Justeru katanya pemimpin UMNO harus memikul tanggungjawab sebagaimana ia menjadi fitrah parti bahawa UMNO sejak dahulu sentiasa membantu rakyat yang memerlukan.

“Ada rakyat yang dibuang kerja, diberikan cuti tanpa gaji, dan mereka ini menjadi keutamaan pemimpin UMNO untuk membantu tanpa membezakan agama, bangsa dan fahaman politik mereka.

“Namun, dalam keterujaan membantu rakyat, perkara paling penting adalah untuk menjaga SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Ini adalah bagi memastikan tiada lagi ‘Kluster’ baru akan muncul akibat kesilapan kita dalam membantu rakyat yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya bagi rakyat yang berada dalam kawasan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), organisasi bukan kerajaan ataupun parti politik disarankan untuk menyalurkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) sebagaimana selaras dengan SOP PKPD.

“Ini adalah masa untuk kita membantu rakyat yang memerlukan perhatian dari pemimpin-pemimpin mereka.

“Tidak guna berpolitik dalam keadaan getir sebegini, kita harus bersatu untuk membantu memastikan kelangsungan hidup rakyat di kawasan masing-masing,” katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat susulan saranan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada semua pemimpin dan jentera UMNO untuk turun padang bagi mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat PKP Penuh penuh dilaksanakan kerajaan.