IPOH, 11 FEB – Pemuda UMNO Perak melancarkan kempen atau inisiatif #KITAPemuda dalam usaha menarik minat lebih ramai golongan muda kepada parti tersebut.

Ketua pergerakan itu, Mohd Ariff Abdul Majid, berkata ‘KITA’ merupakan akronim kepada Kreativiti, Integriti, Transformasi dan Aspirasi.

Jelasnya Pemuda UMNO akan meneruskan perjuangan dalam menjuarai isu-isu rakyat selain terus mendekati golongan muda.

“’Kreativiti’ bermakna anak-anak muda yang ada pada hari ini harus kreatif dan kita akan angkat idea-idea mereka. Mungkin kita boleh mengambil input-input daripada mereka.

“Kedua, ‘Integriti’. Kalau dulu kita selalu dengar perkara-perkara tak baik dikaitkan dengan UMNO. Justeru Pemuda UMNO hari ini kita mahu mempunyai nilai kejujuran dan tanggungjawab yang cukup tinggi dalam diri mereka.

“Sementara ‘Transformasi’ pula, kita mahukan perubahan-perubahan yang berlaku dalam UMNO dan sejak dahulu lagi UMNO akan sentiasa ada perubahan. Justeru ‘Transformasi’ di sini bermakna berani membawa agenda perubahan dan naratif baharu,” katanya

Tambah beliau, perubahan dan naratif baharu parti itu pula akan menjadi ‘Aspirasi’ kepada suara di peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian dalam satu bual bicara ‘Kita Pemuda Episod 1’ yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Pemuda UMNO Negeri Perak, malam tadi.

Sementara itu, Mohd Ariff berkata Pemuda UMNO Perak akan terus bergerak dalam menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan negeri dalam mengetengahkan keluhan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Sebagaimana saranan Menteri Besar Perak sebelum ini, beliau menyarankan agar Pemuda UMNO dapat bergerak melalui organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam memberi bantuan kepada rakyat setempat.

Pada masa sama beliau berharap agar pemimpin politik tidak terlalu berpolitik sehingga ‘menyeksa’ rakyat dalam suasana ekonomi yang getir ini.

“Kita harap kerajaan hari ini memimpin negara ke arah yang baik sebagaimana diharapkan rakyat. Jangan disebabkan hal politik, kita menyeksa rakyat. Hal politik boleh ditolak ke sebelah.

“Dari sudut sebagai kerajaan dan parti yang memimpin kerajaan, kita harus merasai denyut nadi rakyat,” katanya lagi.