IPOH, 29 Julai – Pemuda UMNO Perak menuntut agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana didakwa melanggar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa pelantikan jawatan tempoh hari.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata semua Ahli Parlimen UMNO juga didesak untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebagaimana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak juga mendesak Ahli-Ahli Parlimen UMNO khususnya menzahirkan Keputusan MKT UMNO yang bersidang pada 7 Julai 2021 dengan menarik sokongan terhadap YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Sebagai sebuah institusi Politik yang berteraskan kepada Agama Islam dan Bangsa Melayu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak akan sentiasa menjadi benteng kepada Institusi Raja Berpelembagaan.

“Ia sebagaimana yang tertulis di Fasal 3 Perlembagaan UMNO dan tidak akan sesekali membiarkan mana-mana pihak mementingkan agenda peribadi melebihi kepentingan tanah air,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan memaklumkan kerajaan bersetuju untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini.

Jelasnya, enam ordinan darurat yang telah dibuat sebelum ini berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan juga telah dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Bagaimanapun, pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat berkenaan di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Istana Negara dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Takiyuddin Hassan tidak tepat dan telah mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut Mohd Ariff mendakwa kenyataan dibuat Takiyuddin itu semasa persidangan parlimen baru-baru ini adalah tidak benar dan jauh daripada fakta asal.

“Yang Berhormat Menteri dan Peguam Negara juga telah secara tidak langsung menderhaka kepada perkenan dan titah tuanku dengan tidak membentangkan cadangan pembatalan Ordinan Darurat untuk dibahas dan dibentangkan di Parlimen bagi tujuan pengundian sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Malaysia seperti yang telah dibincangkan secara maya pada 24 Julai 2021 bersama dengan Tuanku,” katanya lagi.