IPOH: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak mencadangkan agar kajian impak secara menyeluruh dibuat segera mengenai cadangan berkenaan penangguhan bayaran balik pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

 

Pengerusinya, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, hasil kajian tersebut mestilah didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat meneliti dan menilai sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

 

Beliau berharap, dengan pendekatan kerajaan sekarang yang dilihat lebih terbuka dan telus, rakyat akan diberi lebih ruang mengambil bahagian dalam merangka dasar baru, agar proses pungutan bayaran balik PTPTN menjadi lebih efektif, pelbagai dan praktikal, tanpa membebankan pihak rakyat atau kerajaan.

 

“Saya juga mengesa agar pihak PTPTN dapat melanjutkan tempoh mengemaskini maklumat pendapatan peminjam yang dijangka tamat pada 25 Julai ini ke satu tarikh yang lebih munasabah.

 

“Ini penting bagi mengelakkan dari berlakunya keciciran maklumat dan kesesakan sistem atas talian PTPTN dalam memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dapat menikmati dasar penangguhan bayaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

 

Baru-baru ini, berlaku perdebatan di Dewan Rakyat antara Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek mengenai penangguhan bayaran balik PTPTN kepada peminjam yang mempunyai pendapatan bawah RM4,000 sebulan seperti yang dijanjikan dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

 

Hasnul berpendapat, beliau secara peribadi melihat cadangan itu adalah suatu yang positif ketika peminjam berdepan dengan peningkatan kos sara hidup, khususnya mereka yang tinggal di bandar, di samping kesukaran mendapatkan pekerjaan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.

 

Akan tetapi, ujarnya, pandangan Khairy juga harus diambil berat oleh kerajaan kerana perkara itu tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan populis semata-mata.

 

“Kerajaan perlu melaksanakan kajian impak secara komprehensif bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara efektif, tanpa memberi bebanan kewangan yang tinggi kepada pihak kerajaan, tatkala negara berhadapan dengan krisis hutang seperti yang diperkatakan oleh pemimpin tertinggi negara sebelum ini,” tambahnya.

 

Hasnul turut melahirkan rasa bimbang, sekiranya langkah penangguhan itu laksanakan dengan tergesa-gesa, ia akan memberi kesan kepada peminjam baru di mana kemungkinan PTPTN terpaksa mengurangkan pinjaman baru serta memperketatkan syarat pemberian pinjaman bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

 

Sekiranya ini berlaku, katanya, sudah pasti ramai lepasan sekolah yang tidak dapat menyambung pengajian mereka ke peringkat tertinggi akibat kekangan kewangan.