KUALA LUMPUR, 26 MAC : Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan sebab yang munasabah susulan penangguhan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 dan tidak menjadikan pandemik COVID-19 sebagai trend alasan.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, alasan seumpama itu seakan-akan cuba memperbodohkan rakyat.

“Saya rasa semacam ada satu trend hari ini. Bila tak dapat melaksanakan sesuatu atau membuat sesuatu yang meresahkan rakyat, kita akan menggunakan alasan pandemik COVID-19 sebagai satu cara untuk mengelak daripada mengambil tanggungjawab yang sebenar.

“Saya rasa alasan-alasan sebegini mesti segera dihentikan kerana hakikatnya kita semacam memperbodohkan rakyat kerana yang paling penting ialah kita kena menjelaskan yang terperinci apa yang dikatakan pandemik ini sebagai penghalang kalau benar sebagai penghalang,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada Khamis, SPR berkata, pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus menyaksikan ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini sepertimana jangkaan awal.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh tersebut dibuat selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi menegaskan, pengerusi badan itu perlu meletak jawatan jika tidak berjaya mengemukakan alasan yang sewajarnya.

“Menangguhkan sehingga 2022 ini satu perkara yang sukar diterima anak muda dan rakyat khususnya, kerana janji yang telah dibuat kerajaan mesti dilihat rakyat sebagai satu janji yang perlu ditunaikan.

“Pemuda mahu Pengerusi SPR ambil tanggungjawab sebab kalau gagal melaksanakan apa yang telah ditetapkan badan legislatif serta mengikut garis masa yang ditetapkan kerajaan sendiri tetapkan dan kalau tidak boleh beri alasan munasabah, maka atas rasa tanggungjawab dan maruah, Pengerusi SPR mesti meletakkan jawatan,” tegasnya.

Katanya lagi, keputusan penangguhan Undi18 berkenaan hanya menggambarkan kerajaan takut dengan undi anak muda.

“Saya tidak pasti kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin ini mempunyai persepsi dan sikap terhadap anak muda.

Namun yang pastinya penangguhan seperti ini dilakukan dengan alasan yang tidak munasabah atau tidak meyakinkan anak muda dengan alasan COVID-19.

“Ia hanya beri isyarat salah iaitu seolah-olah kerajaan takut dan gerun kepada undi anak muda. Seharusnya kerajaan perlu elakkan, kerana kalau tidak, ia akan merenggangkan anak muda dari kerajaan, ” tambah beliau lagi.

Justeru Pemuda UMNO memberi masa kepada SPR untuk memberikan alasan yang munasabah mengenai perkara itu dan kembali kepada garis masa yang telah diputuskan di peringkat Parlimen.

“Sekiranya tidak berlaku, Pemuda UMNO merasakan munasabah kepimpinan SPR mesti ambil tanggungjawab kerana gagal terhadap apa yang diputuskan dua pertiga Ahli-ahli Parlimen atau badan legislatif,” ujarnya. – AWANI