IPOH, 11 JUN- Penantian untuk mendapatkan suntikan vaksin berakhir hari ini, apabila 123 pengamal media Perak daripada pelbagai agensi menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Rata-rata media yang menerima notifikasi menerusi aplikasi MySejahtera pada Khamis, kebanyakannya menerima suntikan itu di beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

Antaranya di PPV Stadium Indera Mulia, PPV Dewan Bandaran Batu Gajah, PPV Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam Lumut Kiri, Manjung serta di Dewan Millenium Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.

Pelaksanaan suntikan vaksin berjalan lancar dengan bantuan petugas kesihatan dan sukarelawan di PPV berkenaan.

Kebanyakan pengamal media menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Pengamal media yang ditemui melahirkan rasa lega dan gembira kerana suara mereka akhirnya mendapat perhatian daripada pihak yang berkenaan.

Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad ketika ditemui berkata peluang yang diterima ini sedikit sebanyak memberi semangat baharu dan keyakinan untuk media menjalankan tugas hakiki di lapangan.

“Terima kasih kepada pihak yang berkenaan, Ia lebih memudahkan tugas kami selepas ini untuk bekerja membuat liputan atau berita berkaitan dengan COVID-19, khususnya di negeri ini.

“Selama ini kita (media) bersama-sama dengan petugas barisan hadapan merakam pelbagai detik bersejarah berkaitan dengan perkembangan COVID-19 di Perak.

“Begitu juga membantu kerajaan mempromosikan vaksinasi untuk rakyat Malaysia. Apa yang kita dapat hari ini merupakan satu perjuangan yang sudah lama ditunggu dari fasa pertama hingga sekarang,” katanya selepas menerima suntikan vaksin dos pertama di PPV Stadium Indera Mulia, di sini pada Jumaat.

Seorang lagi wartawan dari The China Press, Lee Li Lee, turut mempunyai pendapat yang sama selain berkongsi kegembiraan dengan rakan media lain.

“Saya selalu keluar ke lapangan untuk mendapatkan berita, sememangnya akan bertemu dengan ramai orang, di samping perlu menemu ramah mereka.

“Ketika itu masih belum ada sebarang berita untuk suntikan pengamal media, jadi perasaan itu agak risau dan takut. Sekarang rasa lebih yakin bila perlu ke lapangan.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak kerana memberi ruang dan peluang untuk pengamal media mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Pada Khamis, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengesahkan, 123 petugas media yang berada dalam senarainya akan menerima notifikasi janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya sudah menerima senarai nama berkenaan untuk ditetapkan tarikh janji temu pemberian vaksin.