KUALA LUMPUR, 7 Dis — Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2013.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memaklumkan bahawa pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Tengku Adnan, 69.

“Terdapat perkembangan baharu dalam kes ini yang perlu disiasat dengan lebih lanjut. Pihak pendakwaan juga tidak mahu membazirkan masa mahkamah kerana tidak tahu tempoh masa yang perlu diambil untuk menyiasat perkembangan terbaharu itu.

“Pihak kami tidak boleh maklumkan secara terperinci. Apa yang boleh diberitahu ialah terdapat aduan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan seorang saksi dalam kes ini.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon perintah supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan ini,” kata Julia.

Perbicaraan kes itu yang bermula pada 20 Sept 2019 dengan pihak pendakwaan telah memanggil dua saksi sepatutnya bersambung hari ini untuk saksi memberi keterangan.

Pada 15 Nov 2018, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai ‘Ku Nan’ mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akauan CIMB Bank kepunyaan Tengku Adnan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak di sini diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA