IPOH, 13 Mei – Jumlah 50 jemaah yang dihadkan bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri di Perak mungkin akan menyukarkan jemaah sekiranya sesuatu kawasan kariah itu terdiri daripada lebih 1,000 rumah.

Justeru penduduk dan jawatankuasa Masjid Jamek Medan Klebang Restu, di sini, pagi tadi mengambil inisiatif dengan mengadakan solat sunat Aidilfitri di lapan lokasi iaitu enam di laluan kawasan perumahan serta di sekolah agama rakyat dan masjid.

Laluan tersebut termasuk Laluan 14, Hala 9, Klebang harmoni, Klebang pertama, Klebang impian, serta Klebang damai.

Menurut Imam yang mengetuai solat sunat itu di Laluan 14, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan, inisiatif itu dilaksanakan mengikut garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau yang juga Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, berkata selain 50 jemaah yang bersolat di laluan kawasan perumahan, penduduk di sekitar turut dibenarkan menyertai solat sunat Aidilfitri dengan berada di kawasan hadapan perkarangan rumah masing-masing.

“Idea tercetus apabila SOP menetapkan hanya 50 jemaah sahaja yang dibenarkan bersolat sunat Aidilfitri di masjid dan kawasan lapang. Jadi kami berpandangan ada baiknya dapat diadakan (solat) di kawasan lorong taman.

“Kita buat sebaik mungkin, kerana itu kita tidak hanya terhad mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid, surau dan kawasan lapang sahaja,” katanya ketika ditemui selepas mengimamkan solat sunat Aidilfitri di Laluan 14 Medan Klebang Restu, di sini, pada Rabu.

Katanya seawal jam 7.30 pagi tadi jemaah dan penduduk sekitar sudah mula bersiap sedia untuk mendirikan sunat muakkad itu.

Kata beliau lagi, penduduk bukan Islam turut telah dimaklumkan awal berkenaan penganjuran solat sunat Aidilfitri di kawasan kejiranan selain menambah mereka turut memberikan kerjasama yang baik.

Sementara itu Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Klebang Restu, Mohd Khair Napiah berkata inisiatif tersebut mampu memberi peluang kepada ramai jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah.

“Kami mempunyai kariah besar iaitu terdiri daripada sembilan taman perumahan dan membabitkan 3,000 ke 4,000 rumah masyarakat Islam. Untuk meraikan 50 jemaah sahaja di masjid dalam waktu singkat, ia akan menyukarkan petugas masjid.

“Justeru hasil perbincangan antara jawatankuasa dan petugas masjid kami bersetuju untuk mengadakan lapan lokasi solat sunat yang mana imam-iman bertugas dengan rela hati walaupun keadaan tempat solat tidak selesa (berada atas jalan raya),” katanya lagi.