TANJUNG MALIM, 8 April – Jika sebelum ini ramai peniaga menggunakan kiosk diperbuat daripada kayu atau berbentuk konvensional, kini tidak lagi dengan adanya Kiosk BizNita.

Rata-rata penerima kiosk yang ditemui di program penyerahan Kiosk BizNita di sini gembira dan teruja dengan bantuan tersebut.

Badrul Hisham Mat Bani, 44, dari Slim berkata dengan adanya kiosk itu, dia dapat berniaga dengan mudah memandangkan situasinya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Katanya, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika masih bersekolah, disebabkan itu sebelah kakinya tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Sebelum ini saya bekerja tetapi berhenti ketika pandemik COVID-19, atas faktor tertentu saya berhenti, selepas itu saya berniaga burger.

“Nak masuk dua tahun saya berniaga burger di hadapan rumah, kalau dulu guna kiosk kayu sahaja‚Ķ itu pun buat sendiri.

“Kiosk baharu ini sangat memudahkan kami untuk angkat atau simpan, lebih-lebih lagi dengan keadaan fizikal saya sekarang,”katanya.

Sementara itu, Suriani Bah Ani, 28, dari Trolak Selatan turut berkongsi pendapat yang sama mengenai bantuan kiosk itu.

Suriani merupakan salah seorang penerima wanita dari masyarakat Orang Asli di sini.

“Saya berniaga burger berdekatan rumah, kalau ada kiosk ini boleh saya kembangkan jualan makanan lain.

“Bentuknya mudah, boleh dilipat dan dibawa ke mana-mana. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana ada idea untuk mudahkan kami jalankan perniagaan,”katanya.

Seramai 215 orang di seluruh daerah akan mendapat manfaat daripada program tersebut.

Bagi program hari ini, seramai 12 orang penerima dari Tapah, Teluk Intan dan Tanjung Malim menerima kiosk itu sebagai simbolik perasmian.