KUALA LUMPUR, 5 MEI : Tiada kesan sampingan yang teruk, sebaliknya, hanya demam sahaja yang dialami beberapa penerima suntikan vaksin AstraZeneca, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beberapa individu, jelas beliau, merupakan antara yang terlibat dalam program percubaan vaksin berkenaan.

“Setakat ini ada beberapa orang telah terlibat dalam percubaan beberapa hari lepas dan mereka telah laporkan paling teruk demam sahaja,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.

Dalam sidang media itu, Khairy juga memaklumkan, hari pertama pemberian vaksin AstraZeneca mendapatsambutan yang baik daripada masyarakat.

Justeru, kerajaan, jelas beliau, sedang menunggu lebih satu juta dos lagi vaksin AstraZeneca untuk dibekalkan kepada penerima.

“Program Sukarela AstraZeneca ini percubaan pertama, sambutan sangat baik… kita telah habis lot janji temu dalam tempoh tiga jam sahaja.

“Kita akan terima banyak lagi penghantaran AstraZeneca satu juta dos lebih, saya merancang membuka PPV AZ secara sukarela di negeri lain,” kata beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaita, Khairy berkata, negeri-negeri berstatus merah akibat kes positif COVID-19 juga akan diberikan perhatian.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu sidang media mengingatkan penerima vaksin AstraZeneca agar memantau kesihatan mereka.

Jelas Dr Adham, penerima juga dijangka berdepan dengan sakit kepala yang teruk, pandangan kabur, loya, muntah dan sukar bertutur akibat kesan pengambilan vaksin itu. – AWANI