KUALA LUMPUR: Lima selebriti terdiri daripada pengacara popular, pelakon dan penyanyi diambil keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam.

Kelima-lima mereka termasuk seorang pelakon terkenal serta bekas isterinya turut bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram melibatkan dua individu dikenali sebagai Addy Kanna dan Alvin Goh yang sebelum ini disiasat dan ditahan reman oleh SPRM.

Menurut sumber, turut dipanggil, seorang selebriti yang pernah dirakam percakapan oleh pihak SPRM pada awal bulan lalu. 

Katanya, kesemua selebriti berusia antara 35 hingga 41 tahun itu diminta hadir bagi membantu siasatan kes ‘cuci duit’.

“Kesemua mereka hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 12 tengah hari sehingga 2 petang tadi dan ada yang masih dirakam percakapan.

“Kesemua mereka diambil keterangan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai aktiviti pengubahan wang haram,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam. 

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 10 selebriti akan dipanggil bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram serta cuci duit melibatkan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian. 

Sindiket yang didalangi dua individu itu dipercayai mendekati selebriti tanah air bagi melaburkan modal dalam beberapa perniagaan melibatkan mereka.

Ini termasuk beberapa instafamous yang pernah dipanggil SPRM sebelum ini. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan meminta semua selebriti dan ahli perniagaan yang terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.- UTUSAN