LAZIMNYA, jika kita pergi melancong sama ada di dalam atau luar negara, sudah pasti kita memilih penginapan hotel yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Namun, untuk rasai kelainan boleh mencuba menginap di chalet ala rumah Orang Asli bagi menikmati suasana kehidupan masyarakat berkenaan di negara ini.

Menginap di chalet ala rumah Orang Asli di Perkhemahan dan Chalet Sungai Bil, Behrang, Perak, umpamanya pasti memberi pengalaman berbeza dan mengujakan.

Chalet ala rumah Orang Asli terletak di tepi Sungai Bil dikelilingi tumbuhan semula jadi menjanjikan suasana dan panorama menarik.

Di sini ada 12 chalet ala rumah Orang Asli di sini dibina oleh penduduk Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan kampung ini.

Mereka mengambil masa 14 bulan menyiapkan chalet ala rumah Orang Asli bagi memberi kelainan kepada pengunjung datang menginap di sini.

Chalet menghadap Sungai Bil

Tiang chalet diperbuat daripada buluh bersaiz besar yang ditanam di dalam tanah pada kawasan celahan batu sungai bagi menguatkan struktur binaan chalet terbabit.

Dindingnya pula dihasilkan daripada batang bertam yang sudah kering dianyam dengan kemas sebelum dijadikan dinding chalet terbabit.

Pada bahagian lantai chalet itu juga disusun dengan buluh secara rapat-rapat sebelum diletakkan tikar untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Uniknya, chalet ini mempunyai ruang balkoni pada bahagian hadapan yang mengadap Sungai Bil yang terkenal dengan airnya yang sejuk dan nyaman secara semula jadi.

Jadi, tidak hairan jika mengunjungi tempat perkelahan ini didapati ramai pengunjung mengambil peluang menikmati panorama sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi dari atas balkoni ini.

Bunyi deruan air menghempas batu

Bagi mengelakkan bumbung bocor pada musim hujan, selepas membuat bumbung diperbuat daripada daun rumbia diletakkan pula atap zink pada bahagian atas bumbung itu.

Jika menginap di chalet ala rumah Orang Asli ini, anda tidak memerlukan penghawa dingin kerana suasana semula jadi di kawasan ini sudah cukup memberi keselesaan kepada pengunjung.

Anda akan mendengar bunyi deruan air sungai mengalir dan menghempas batu memecah keheningan malam.

Malah, bagi pengunjung yang berani dengan suasana gelap pada waktu malam, mereka boleh bermain air sambil duduk di atas batu sungai bagi menikmati panorama berbeza di persekitaran chalet terbabit.

Kos perbelanjaan menginap atau bermalam di sini tidaklah semahal jika tidur di hotel. Penginapan di sini pastinya berbaloi dengan suasana yang nyaman, damai dan jauh daripada kesibukan kota.

Boleh memasak

Pengunjung dibenarkan memasak di bahagian luar yang disediakan. Lazimnya pengunjung memilih masak sendiri bagi merasai suasana kehidupan di kawasan pedalaman.

Pengusaha chalet, Mohd Nawawi Idris,63, berkata beliau memilih konsep chalet ala rumah Orang Asli memberi peluang pengunjung menikmati dan merasai suasana percutian secara alam semula jadi.

Katanya, pengunjung khususnya dari ibu kota biasanya akan teruja apabila berpeluang menginap di chalet berkenaan.

“Chalet ini tidak seperti hotel yang terdapat di ibu kota, tetapi bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berbeza ketika bercuti boleh mengunjungi tempat ini.”Di samping menginap, mereka boleh mandi-mandi sungai di tepi chalet dan masak sendiri,” katanya.

Mohd Nawawi berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dan kini pula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Perak jumlah kedatangan pengunjung juga merosot.

Beliau akur dengan keadaan itu bagi membolehkan kerajaan memutuskan rantai pandemik COVID-19. Justeru, beliau mengambil peluang membaiki chalet dan kawasan perkhemahan sebagai persediaan selepas berakhirnya PKPB nanti.

INFO CHALET ORANG ASLI

* Terletak di Kampung Sungai Bil, Behrang.

* Ada pondok beriadah dan santai bagi yang tidak bermalam.

* Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara perlu menggunakan Plaza Tol Slim River.

* Pengunjung dari arah selatan – menggunakan Plaza Tol Tanjung Malim atau Behrang.

* 14 kilometer jarak dari Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur .