JOHOR BAHRU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan termasuk merogol dan meliwat wanita yang disyaki berlalu selepas pertikaian hutang minggu lalu.

S. Dinesh Kumar, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol dan meliwat selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim V.M Mabel Sheela.

Lelaki itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan berkenaan terhadap mangsa berusia 30 pada pukul 6 pagi di sebuah rumah terletak di Taman Perling di sini pada 12 November lalu.

Pendakwaan kedua-dua kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin serta memerintahkannya melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Amarpreet Singh Rajwinder.

Di Mahkamah Majisret berasingan, Dinesh Kumar juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan iaitu mengugut dan mencederakan mangsa di lokasi dan waktu sama.

Pendakwaan terhadap kedua-dua kes itu dibuat mengikut Seksyen 385 dan 323 Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua dan tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan memberikan makluman diri palsu kepada pihak polis.

Sementara itu, dua lagi rakan tertuduh iaitu Salwani Yusof, 27, dan Dewi Riskasari, 25, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Majistret Nurasidah A. Rahman membenarkan Dinesh Kumar diikat jamin RM12,000 manakala dua rakannya masing-masing RM3,500 dan RM4,000 sementara menunggu tarikh sebutan kes pada 22 Disember ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid memaklumkan mangsa bukan sahaja dirogol, malah juga diliwat dan dicederakan suspek lelaki selepas dipercayai berkaitan hutang.

Malah mangsa berusia 30 juga diperas ugut sebanyak RM2,000 oleh lelaki berkenaan dan turut melibatkan dua lagi suspek wanita.-K! ONLINE