IPOH, 28 Ogos: Polis mengesahkan video tular di aplikasi WhatsApp sejak kelmarin yang memaparkan seorang pengawal keselamatan diserang seorang lelaki hingga mengalami cedera parah di sebuah kondominium, adalah kejadian tahun lalu dengan suspek sudah didakwa di mahkamah.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kejadian berlaku pada 29 Disember tahun lalu ketika mangsa sedang bertugas di kolam renang kondominium berkenaan dengan kertas siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati dengan mangsa kerana cuba menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang ditutup kepada orang ramai ketika itu.

Tambahnya lagi, mangsa yang pengsan dan cedera di bahagian belakang kepala selepas kejadian itu, dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan.

“Kertas siasatan kes itu sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak pada 5 Januari lalu dan suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada keesokannya mengikut Seksyen 335 KK iaitu mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah.

“Bagaimanapun kes itu dijadualkan untuk disebut semula di Mahkamah Majistret Ipoh pada 9 September depan bagi sabitan hukuman,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mior Faridalathrash berkata, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya semalam dengan hasil bedah siasat yang dijalankan di HRPB mengesahkan kematian mangsa adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru (Sepsis).

Katanya, keadaan itu menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa dengan mendakwa punca kematian mangsa adalah disebabkan mangsa yang dipukul oleh suspek lalu bertindak menularkan rakaman dan gambar mangsa ketika kejadian 29 Disember tahun lalu.

“Berdasarkan keterangan baru ini, maka polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan lanjut.

“Justeru polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini memandangkan ianya masih dalam perbicaraan mahkamah.

“Polis memandang serius aktiviti jenayah yang berlaku dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan jenayah yang mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 16 saat memaparkan seorang lelaki yang ketika kejadian membawa bersama seorang kanak-kanak, bertindak mengasari seorang pengawal keselamatan sehingga pengsan.