IPOH, 10 April – Kementerian Perpaduan Negara menetapkan pengerusi jawatankuasa Komuniti Rukun Tetangga (KRT) hanya boleh memegang jawatan untuk tempuh tiga penggal atau enam tahun.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, selepas tempuh itu, mereka mesti memberi laluan kepada ahli lain di dalam komuniti untuk menerajui KRT.

Menurut beliau, ia selaras dengan proses penjenamaan semula supaya KRT kekal relevan dan dimanfaatkan lebih ramai komuniti dalam masyarakat.

“Satu penggal ada dua tahun dan dasar baharu ini, dia boleh berkhidmat untuk penggal satu dua atau tiga penggal.

“Tetapi selepas itu dia kena beri peluang pada orang lain,” katanya pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Negeri Perak Tahun 2021 di sini hari ini.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Ti Lian Ker serta Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Menurutnya, selain itu, kementerian menetapkan supaya jawatankuasa KRT turut melibatkan pelbagai kaum, 30 peratus golongan wanita di samping 30 peratus golongan muda berumur antara 18 hingga 35 tahun.

Katanya, perubahan itu bagi membolehkan fungsi krt dipelbagaikan seiring peredaran zaman dan teknologi, selain mampu menarik minat masyarakat menyertainya.

Dalam pada itu, Halimah memberitahu, seramai 104,363 ahli jawatankuasa KRT di seluruh negara telah mendaftar untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sehingga kini.

Katanya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah menggerakkan pelbagai kempen dan program untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada 250,000 ahli di 8,330 KRT di seluruh negara supaya membuat pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Ini kerana kita tahu ada di antara mereka yang mahu menunggu dan melihat (keberkesanan vaksin COVID-19) dan tidak mahu mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

“Jadi, untuk selamatkan diri sendiri, keluarga dan komuniti, kita kena lindung diri… kita daftar, sampai giliran kita untuk dipanggil vaksinasi kita ambil vaksin, Insya-Allah semua selamat,” ujarnya.