LENGGONG: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Perak menyalurkan bantuan 450 kotak makanan sempena sambutan Deepavali tahun ini.

Setiausahanya, Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail berkata, pihaknya menyalurkan 20 kotak makanan untuk setiap kawasan Parlimen di negeri ini.

“Ia merupakan sumbangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin sempena sambutan Deepavali pada 14 November ini,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau yang juga Pengerusi PKN Parlimen Lenggong berkata, kotak makanan untuk penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan telah diserahkan dalam satu majlis petang semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lenggong, Khairul Azuan Mohamad Noor.

“Sehubungan itu satu taklimat telah disampaikan kepada ahli PKN berbangsa India mengenai penyertaan mereka sebagai ahli bukan Bumiputera ke dalam Bersatu Bahagian Lenggong dan seterusnya kedudukan Bersatu sebagai parti komponen dibawah Perikatan Nasional (PN).

“Setelah penerangan dibuat 20 orang telah bersetuju menandatangani borang kemasukkan sebagai ahli bukan Bumiputera Bersatu,” ujarnya.

Sharifah Hazlina merakamkan penghargaan kepada Bersatu Lenggong yang telah membuka ruang penyertaan keahlian PKN ke dalam parti itu.