IPOH: Akibat gagal mengadakan pelan mengangkat bagi pengendalian kren bergerak, seorang pengurus projek di sebuah syarikat pembinaan di Kamunting dikompaun RM50,000 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.

Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof berkata, kompaun tersebut dikeluarkan susulan pemeriksaan mengejut yang dilakukan di tapak pembinaan kilang di Kawasan Perindustrian Kamunting pada 31 Mac lalu.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, pengurus projek syarikat tersebut didapati gagal mengadakan pelan mengangkat sebelum pengoperasian, pengendalian dan penyelenggaraan kren bergerak.

“Semasa pemeriksaan itu dijalankan, syarikat kontraktor berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan sebuah kilang.

“Ekoran kesalahan tersebut, satu kertas siasatan telah dibuka dan tindakan kompaun RM50,000 dikeluarkan mengikut Perintah 2(e), Perintah Khas Ketua Pemeriksa Bilangan 2 Tahun 2020, Pengurusan dan Pengendalian Selamat Kren Bergerak,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, syarikat yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan diminta untuk sentiasa mematuhi akta-akta dan perintah khas ketua pemeriksa yang dikuatkuasakan oleh JKKP iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

Menurutnya, turut perlu dipatuhi ialah Perintah Khas Ketua Pemeriksa Bilangan 2 Tahun 2020 Pengurusan dan Pengendalian Selamat Kren Bergerak, Perintah Khas Ketua Pemeriksa Bilangan 1 Tahun 2020 Pengurusan Keselamatan Struktur Sementara (Perancah, Acuan dan Penyangga) dan Perintah Khas Ketua Pemeriksa Kepada Pengurus Projek Berkenaan Pengurusan dan Pengendalian Selamat Kren Menara 2017.

“Kegagalan atau sebarang pelanggaran perintah khas ketua pemeriksa itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita akan terus mempertingkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di tapak binaan bagi mengelak berlakunya insiden kemalangan yang boleh membahayakan pekerja,” katanya. – UTUSAN