KOTA BHARU, 27 APRIL – Peniaga burger yang dikompaun RM50,000 sudah mengemukakan rayuan kepada pejabat Peguam Negara melalui Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Rayuan itu dibuat oleh Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 37, di Pejabat Kesihatan Kota Bharu bersama isterinya, Nor Laili Shafii, 36.

Menurut Nor Laili, dia dan suami mengharapkan agar kompaun berkenaan dapat dikurangkan memandangkan pendapatan mereka yang tidak menentu pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami merayu budi bicara pihak KKM dapat kerana masih buntu saat ini untuk mencari wang untuk menjelaskan kompaun.

“Sehingga hari ini, kami masih terkejut dengan kejadian terbabit. Kami amat berharap perkara ini diselesaikan dengan baik,”katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Rambutan Rendang hari ini.

Menurut Nor Laili, selain itu, dia dan suami merayu agar kerajaan negeri dapat memberi kelonggaran iaitu perniagaan dapat dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi kerana mereka hanya berniaga dalam kawasan pagar rumah untuk tempahan sahur dan pekerja shif.

“Kami bukan menindakkan undang-undang, namun para peniaga kecil hanya mengharapkan punca pendapatan dengan berniaga.

“Ketika ini, kami hanya mengambil tempahan burger pada waktu sahur dan khidmat bayar selepas terima (COD) sahaja daripada pelanggan,” katanya. – K! ONLINE