IPOH: Terdapat peniaga di Pasar Besar Ipoh yang menjual barangan keperluan lebih rendah daripada harga kawalan.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perak, Saifullizan Kamarul Zaman, tinjauan di pasar itu hari ini turut mendapati bekalan barang kawalan mencukupi dan peniaga mematuhi peratuan yang ditetapkan.

Menurutnya, antara peraturan itu ialah seperti menjual barang kawalan tidak melebihi harga kawalan yang ditetapkan; mempamerkan tanda harga khas berwana merah jambu bagi barang kawalan dengan mempamerkan tanda harga yang dan menggunakan alat timbang yang telah ditentusahkan.

“Tindakan sedemikian adalah wajar dijadikan contoh kepada peniaga-peniaga lain dalam membantu pengguna berbelanja ketika berhadapan situasi ekonomi yang mencabar buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemeriksaan itu dibuat ekoran penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020 yang bermula 9 hingga 17 November ini.

Saifullizan berkata, bagi negeri Perak, sebanyak 20 barangan terlibat dalam SHMMP yang dikawal harganya di peringkat borong dan runcit, antaranya ayam, telur ayam, daging kambing, kelapa, tomato, ubi kentang, bawang merah dan kacang dal.

Menurutnya, sejak hari pertama SHMMP dikuatkuasakan sehingga hari ini, sebanyak 759 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negeri Perak dan tiada aduan diterima daripada orang awam.

“Walaupun tiada kes dan aduan direkodkan sehingga kini, pihak KPDNHEP akan sentiasa berada di lapangan dalam memastikan peniaga terus mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan pengguna supaya memanfaatkan aplikasi mudah alih ‘Price Catcher’ ketika berbelanja untuk membuat perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan.

Aplikasi ‘Price Catcher’ yang dibangunkan KPDNHEP memaparkan maklumat harga lebih 400 barangan yang dikutip oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDNHEP di seluruh negara secara harian, mingguan dan bulanan.

Melalui aplikasi ini, pengguna dapat menjimatkan masa dan kos untuk membuat perbandingan harga antara premis yang berlainan di sesuatu kawasan dan seterusnya, pengguna dapat merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan.