IPOH 28 Mei – Seorang peniaga kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan suapan kepada anggota polis berjumlah RM5,000 bagi mengelak daripada diambil tindakan menyimpan rokok seludup, dua tahun lalu.

Tertuduh, Loo Che Ming, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan tersebut kepada Inspektor Afzanizam Mat Isa yang bertugas di Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Kedai Runcit Loo Brother di No. 31, Kampung Baru Ayer Tawar, Manjung pada 5 Oktober 2017, kira-kira pukul 10.30 pagi.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh sebagai dorongan kepada anggota polis berkenaan untuk tidak melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kesalahan menyimpan rokok seludup.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Wahida memohon supaya tertuduh ditawarkan jaminan munasabah sebanyak RM30,000 bagi menjamin kehadirannya ke mahkamah.

Namun, tertuduh merayu supaya jaminan tersebut dikurangkan kerana mempunyai tanggungan ibu dan bapa, masing-masing berusia 78 dan 85 tahun selain lima orang anak berumur antara 18 hingga 9 tahun.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 beserta seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga terdekat selain menetapkan 21 Jun ini untuk lantikan peguam. – UTUSAN ONLINE