IPOH: Seorang peniaga pasar malam ditemui lemas di dalam longkang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat di tapak pasar malam Taman Silibin di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, mangsa, Muhamad Jamil Samsudin, 54, dipercayai terjatuh ke dalam longkang semasa memasang khemah bersama isteri dan seorang anak lelakinya untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, kejadian disedari oleh salah seorang peniaga yang baru datang untuk membuka gerai perniagaan dan ternampak sekujur tubuh dalam keadaan tertiarap di dalam longkang dan telah menghubungi pihak polis dan hospital kira-kira jam 6.45 petang.

“Pihak hospital telah datang ke tempat kejadian dan telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, hasil temu bual dengan isteri mangsa, mereka telah berniaga kuih peneram sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku mereka sedang memasang dan mengikat khemah berniaga semasa kejadian hujan lebat dan isteri serta anak mangsa tidak menyedari mangsa telah terjatuh ke dalam longkang.

“Isteri mangsa hanya menyedari setelah di maklumkan oleh rakan rakan yang berniaga di pasar malam tersebut di mana si mati di jumpai orang orang awam lebih kurang 50meter dari tempat mereka berniaga dimana mayat si mati tersekat oleh batu besar di dalam longkang tersebut,” ujarnya.

A Asmadi berkata, siasatan di tempat kejadian dan saksi-saksi yang di temui mendapati tiada unsur unsur jenayah dalam kejadian tersebut.Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) Ipoh untuk tujuan bedah siasat hari ini.