IPOH, 29 Julai – Peningkatan kes positif COVID-19 di Perak sejak kebelakangan ini adalah disebabkan oleh ujian saringan atau swap test secara besar-besaran yang dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang, sebaliknya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pegerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin memberi contoh ujian saringan telah dijalankan sebanyak dua kali di kawasan PKPD di Mukim Ulu Selama yang melibatkan lebih 5,000 penduduk.

“Semakin banyak kita buat ujian saringan di kawasan PKPD, maka makin bertambahlah.

“Maknanya dengan jumlah yang tinggi pada masa ini kita harap rakyat tidak panik atau risau, cuma perlu menjaga SOP.

“Jangan risau kerana jumlah yang tinggi ini kerana ‘swap test’ besar-besaran di kawasan PKPD dan insya Allah kita harap akan berkurangan,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat Program Vaksinasi di Poliklinik We Care di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tiga lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Intergrasi akan dibuka di Perak iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Kolej Telekom Taiping dan Tzu Chi Kinta.

Sejak kebelakangan ini bilangan positif COVID-19 di Perak berada di sekitar 400 hingga 600 kes, berbanding hanya sekitar 200 hingga 300 kes sebelum ini.

Pada Ahad, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri akan memperluaskan Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 menggunakan Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Antigen).

Ia berikutan pembelian Kit RTK-Antigen oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Majuperak Holdings Berhad (MHB) dengan kerjasama EB Holdings Sdn Bhd.

Kit ujian itu bagi mengenal-pasti kes positif terutamanya yang tidak bergejala namun berisiko menularkan jangkitan kepada komuniti.