IPOH, 18 MEI – Kerajaan diminta mengkaji semula arahan penutupan sektor ekonomi tertentu termasuk spa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tindakan tersebut menjejaskan pendapatan golongan terlibat.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pertiwi Ipoh, Irmalini Amir Hamzah berkata, data sehingga kini membuktikan tidak ada kluster spa, malahan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan telah dipraktikkan dengan bersungguh-sungguh.

Menurutnya, hasil pematuhan ketat SOP itu telah berjaya mengelak daripada kewujudan kluster spa sepanjang penularan pandemik Covid-19 itu.

“Usahawan spa dan salon memainkan peranan penting dalam memakmurkan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kebanyakan dipelopori oleh usahawan bumiputera dalam kategori B40.

“Bukan itu sahaja, kebanyakan pekerja spa dan salon ini terdiri daripada anak-anak muda yang baru mula berkerja dan tindakan menutup operasi spa ini menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, ada dalam kalangan pekerja terdiri daripada pelajar kolej kemahiran dan universiti tempatan yang masih perlu membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Irmalini berkata, disebabkan itu kerajaan harus meneliti semua pembukaan sektor tertentu bagi membantu rakyat yang terkesan terutama PKS dan tidak pilih kasih dengan hanya membenarkan kilang-kilang atau industri besar.

Dalam pada itu, beliau berharap agar kerajaan memandang serius masa depan industri spa sejak PKP 1.0 hingga sekarang supaya peluang pekerjaan sentiasa terjamin.

Katanya, tindakan menutup operasi sektor ekonomi tertentu hanya akan menggalakkan lagi masalah pengangguran dalam musim pendemik ini. – Sinar Harian