IPOH, 8 APRIL : Aksi Perak FC menentang UiTM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, di sini, malam tadi, dicemari dengan insiden pemasangan kain rentang gergasi di kawasan tempat duduk penonton yang memaparkan tulisan tak puas hati dalam kalangan penyokong.

Ia dipercayai dilakukan pihak tertentu susulan ketidakpuasan hati mereka terhadap isu tunggakan gaji pemain yang didakwa menjadi punca utama prestasi skuad Bos Gaurus hambar sejak permulaan liga musim ini.

Tulisan pada kaitan rentang itu berbunyi ‘100 yrs is nothing if f****** same thing again’ atau lebih kurang bermaksud ‘100 tahun penubuhan pasukan itu, tidak memberi sebarang makna jika isu sama masih berulang’.

Kain rentang itu dikatakan dipasang sejurus selepas pasukan UiTM FC menjaringkan gol kedua pada minit ke-39 menerusi Nana Poku untuk menjadikan kedudukan perlawanan ketika itu 2-0. Bagaimanapun ia diturunkan sejurus selepas itu, susulan arahan petugas stadium.

Tinjauan mendapati tiada insiden kekecohan atau pergaduhan selepas itu. Dalam perlawanan berkenaan, Perak FC menewaskan UiTM FC 3-2. – Berita Harian