IPOH, 15 April – Kerajaan negeri Perak tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana lokasi bazar Ramadan di seluruh negeri sekiranya didapati keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semakin tidak terkawal.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, setakat ini, mereka masih menggunakan pendekatan memberi peringatan dan amaran terlebih dahulu.

Menurut beliau, berdasarkan pemantauan sejak dua hari lalu, kerajaan negeri tidak berpuas dengan pematuhan SOP di beberapa lokasi bazar.

“Sebenarnya pengendalian di pintu masuk semuanya ada, cuma apabila mereka masuk ke dalam kawasan bazar, kita mendapat aduanlah bahawa ramai yang tidak mematuhi SOP.

“Jadi kita mestilah tidak berpuas hati kerana kita tidak mahu, kita mahu meminimakan aduan-aduan tersebut kerana akhirnya kita tidak mahu angka kita naik disebabkan kluster-kluster yang datang daripada bazar Ramadan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti PPR, Pangsapuri Seri Kepayang (PSK) di Ipoh pada Khamis.

Beliau yakin dengan keputusan kerajaan menurunkan kuasa untuk mengeluarkan kompaun kepada pegawai penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) Gred 19 mulai Rabu, akan membantu membaiki li pematuhan SOP di bazar Ramadan.

Dalam masa sama, pihak penganjur diingatkan supaya memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi setiap SOP yang telah ditetapkan

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, Perpustakaan Komuniti di PSK adalah yang pertama seumpamanya di negeri ini.

Menurutnya, ia akan diperluaskan ke 14 lagi PPR yang di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak.