IPOH, 5 MEI – Perak bakal menerima pelaburan bernilai RM800 juta daripada pembinaan sebuah kilang sarung tangan getah di atas tanah seluas 18.3 hektar di tapak perindustrian Bemban II, Sungai Terap, dekat Batu Gajah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata selain pelaburan, ia juga bakal menyediakan 4,000 peluang pekerjaan.

Katanya pembinaan kilang tersebut membabitkan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) serta Syarikat Professional Latex Sdn Bhd dalam memperkukuhkan lagi industri berasakan getah di Perak

“Pelaburan yang dianggarkan mencecah RM800 juta secara keseluruhan akan melibatkan lima fasa dalam tempoh 10 tahun dengan pelaburan bagi fasa pertama dijadual bermula pada tahun 2023 hingga 2024 membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM160 juta.

“Apabila siap sepenuhnya, kilang ini akan mempunyai 80 barisan pengeluaran dengan anggaran penghasilan 24 billion sarung tangan setahun.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kerjasama pintar sebagai sebahagian daripada pendekatan penting kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKNP dengan Professional Latex di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Rabu.

PKNP diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak sementara Professional Latex diwakili Pengarah Eksekutifnya Lim Sin Kooi.

Tambah Saarani, pelaburan itu bersifat strategik memandangkan penularan pandemik COVID-19 telah meningkatkan permintaan hasil industri berasaskan getah serta sektor yang berkaitan penjagaan kesihatan.

“Pasaran eksport bagi sarung tangan getah negara pada tahun ini dianggarkan mencecah 220 billion unit, iaitu 67 peratus daripada permintaan dunia.

“Permintaan kepada sarung getah di peringkat antarabangsa sahaja meningkat daripada 380 billion kepada 420 billion pada tahun ini dan dijangka kekal tinggi,” jelas beliau.

Sementara itu, Redza berkata MoU yang ditandatangani itu sebahagian agenda PKNP dalam mewujudkan persekitaran kondusif bagi menarik lebih ramai pihak melabur di Perak.