IPOH, 10 April – Kerajaan negeri Perak akan membantu memberi latihan kepada usahawan, termasuk peniaga kecil di negeri ini untuk terlibat dalam ekonomi digital.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, kerajaan negeri melalui Digital Perak telah memulakan langkah itu ekoran pandemik Covid-19.

Menurutnya, ekoran pandemik yang berlaku itu, usahawan perlu bersedia untuk mengubah cara lama perniagaan mereka.

“Saya berpegang kepada setiap apa yang berlaku ada hikmahnya, setiap krisis ada peluang.

“Apa yang berlaku ketika pandemik Covid-19 sebenarnya boleh digunakan untuk menjadi peluang kepada usahawan-usahawan kita untuk memaju dan mempertingkatkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Pendek “Perak Food Hunter” Negeri Perak 2021” di Galasa Caldwell di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rizal Fitri Meor Redzuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Shahril berkata, berdasarkan pengalaman ketika pandemik, ramai usahawan yang menggunakan pendekatan ekonomi digital memperolehi pendapatan yang berlipat kali ganda.

“Berdasarkan kajian kita juga, usahawan yang tidak menggunakan kaedah baru ini, mereka akan ketinggalan dan masih berada di takuk lama,” ujarnya.

Menurutnya, antara latihan yang diberikan Digital Perak ialah pembikinan video pendek mengenai produk usahawan.

Mengenai pertandingan video pendek, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan, sebagai antara langkah untuk mempromosikan produk usahawan di samping melonjakkan Perak sebagai syurga makanan.

Katanya, selain dipromosikan oleh media sosial milik usahawan, kerajaan negeri turut membantu mempromosikannya melalui platform di bawah Digital Perak seperti PiOR TV dan media sosial seperti facebook dan instagram.

Sebanyak 173 penyertaan dari seluruh negara diterima dalam pertandingan yang bermula antara 8 Januari hingga 19 Mac lalu.