IPOH, 16 Dis – Perak berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik tidak diadakan.

Walaupun Gerik berada di dalam zon hijau tetapi ia tetap mempunyai risiko, seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jika berlaku PRK sudah tentu berlaku pergerakan secara bebas.

“Orang daripada luar daerah Hulu Perak masuk ke daerah Hulu Perak samada daripada daerah yang berhampiran, daerah Lenggong, Kuala Kangsar, ataupun daripada Kedah sebab sempadannya ialah di Baling, ataupun daripada Penang.

“Tiada siapa boleh menjamin bahawa keluar masuk orang ramai itu tidak membawa apa-apa gejala COVID-19.

“Jadi kerana itu saya fikir Majlis Keselamatan Negara telah mengambil kira pengalaman yang berlaku di Sabah, maka mereka telah membuat keputusan untuk mendapat perkenan Agong supaya di isytiharkan darurat,” katanya.

Beliau ditemui selepas membentangkan Belanjawan 2021 Perak di pejabatnya di Ipoh pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Perak berkata, pihaknya akur walaupun telah membuat persiapan seperti pelantikan ketua-ketua pusat daerah mengundi dan mendapat biodata 11 calon yang berpotensi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.054) Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri (N.66) Bugaya, Sabah.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sultan Abdullah memperkenankan perkara itu selepas berpuas hati dengan adanya keperluan berbuat demikian.