Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 96 kes kematian Covid-19 semalam, peningkatan angka korban untuk tiga hari berturut-turut, menurut perincian dikeluarkan GitHub.

Daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital (BID), menjadikan keseluruhan angka korban kini mencecah 28,234.

Sarawak mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 21 diikuti Sabah (16), Perak (14), Kelantan (13), Selangor (12), Johor (lapan), Pulau Pinang (enam), Pahang dan Terengganu (masing-masing dua) serta Kedah dan Perlis (masing-masing satu).

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Setakat jam 12 tengah malam tadi, sebanyak 89,337 kes aktif direkodkan termasuk 666 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 306 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.